KUALA LUMPUR: Seorang wanita berputih mata apabila sebuah peti besi keselamatan miliknya yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM3 juta, dicuri dalam kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam hingga 12 tengah malam itu, turut dilarikan ialah beberapa beg tangan pelbagai jenama serta barang kemas milik ahli keluarga wanita berusia 43 tahun itu.

"Jumlah keseluruhan anggaran kerugian adalah kira-kira RM3.5 juta," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa serta keluarga tiada di rumah dan laporan polis dibuat wanita itu hari ini.

Ashari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju melalui talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA